Jumaat, 26 Mac 2021

TH tunggu makluman Arab Saudi, iklan pakej haji masih dilarang

SETAKAT hari ini, kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebagai pelan persediaan awal, TH memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

“Justeru, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd dan C.S Holidays Sdn Bhd.

Turut diberikan lesen, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd. 

Tujuh lagi syarikat ialah Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan TH itu.

Baca artikel berkaitan: Jumlah sebenar jemaah haji Malaysia diketahui bulan depan – Menteri

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini telah diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

Tiada ulasan: