Rabu, 10 Mac 2021

Suspek hina Islam, hasut murtadkan wanita ditahan polis

Suspek hina Islam
Suspek hina Islam dan hasut murtadkan wanita ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman hari ini.

SEORANG lelaki yang menghina agama Islam serta menghasut untuk memurtadkan seorang wanita menerusi satu klip video yang dimuat naik di media sosial bulan lalu sudah ditahan polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari.

“Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah menahan lelaki itu serta merampas sebuah telefon bimbit jenama Oppo dan kad sim Maxis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Baca artikel berkaitan: Identiti lelaki murtadkan wanita Islam dikenal pasti -Ayob Khan 

Huzir berkata, permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon esok bagi siasatan lanjut.

“Kita kini dalam usaha untuk mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kes itu,” katanya.

Huzir berkata, suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat berkaitan kes itu melalui platform YouTube atas nama pemilik akaun Happy Family Malaysia pada pertengahan Februari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 441 Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Huzir menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta kes.

Polis sebelum ini melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Perjiranan Bandar Dato Onn, di Johor, pada 9.50 malam 19 Februari lalu.

“Pemeriksaan itu hasil maklumat yang menyatakan terdapat sekumpulan orang awam berkumpul untuk menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki berkenaan berada di dalam premis.

“Pihak polis telah berjaya mengawal keadaan dan hasil pemeriksaan, didapati rumah itu hanya didiami oleh ayah dan kakaknya sahaja manakala suspek yang berusia lingkungan 29 tahun tiada di situ. Oleh itu, tiada tangkapan dan rampasan dibuat,” kata kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Tiada ulasan: