KUALA LUMPUR – Gara-gara mahu mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang, seorang pembuat kuih sanggup membunuh rakan senegaranya di tingkat dua sebuah pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, di sini, pada Isnin lepas.
Kejadian itu berlaku apabila suspek wanita warga Indonesia berumur 39 tahun telah menelefon mangsa bagi mendapatkan bantuan untuk mengangkat anaknya kerana tangan suspek kononnya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata, mangsa yang percaya terus ke rumah suspek untuk membantunya namun setibanya mangsa ke rumah, suspek telah menolak mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai sehingga mati.
Berikutan itu, suspek diperayai mengambil barang kemas milik mangsa dan telah menggadaikannya bagi melangsaikan hutang berjumlah RM5,000 pada semalam.
Menurutnya, suami mangsa warga tempatan berusia 47 tahun, hanya menyedari kehilangan isterinya selepas pulang bekerja dan mendapati pintu rumahnya tidak berkunci pada kira-kira 7 malam pada Isnin.
“Suami mangsa masuk ke rumah mendapati telefon bimbit dan barangan peribadi milik mangsa masih ada tetapi mangsa tiada di rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, awal pagi tadi seperti dilapor BERNAMA.
Abd Khalid berkata kali terakhir suaminya berjumpa dengan mangsa adalah pada 1.20 tengah hari dan berhubung dengan mangsa pada 3.46 petang hari yang sama.
Sehubungan itu, suami mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya di Balai Polis USJ 8 pada 12 tengah malam Selasa (9 Mac) .
“Berikutan itu, polis telah menahan suspek semalam (Selasa) dan hasil soal siasat suspek mengaku telah membunuh mangsa yang merupakan seorang penjual kuih berusia 54 tahun serta membawa pihak polis ke tempat suspek menyembunyikan mayat mangsa.
“Polis menemukan mayat mangsa diselubungi kain dan selimut di bawah katil suspek pada semalam dengan terdapat kesan pendarahan pada bahagian kepala,” katanya sambil menambah rumah mangsa dan suspek hanya 10 meter sahaja.
Beliau berkata mangsa dan suspek saling mengenali dan sentiasa berurusan perniagaan kuih-muih di gerai berhampiran dengan rumah mangsa.
Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata semasa kejadian itu berlaku di dalam rumah suspek, hanya terdapat dua anak suspek yang berusia setahun dan tiga bulan manakala suami suspek tiada di rumah.
“Selain suspek, polis turut menahan suami suspek warga tempatan berusia 48 tahun bekerja sebagai kru produksi bagi membantu siasatan.
“Motif pembunuhan ini adalah suspek mempunyai masalah kewangan dan mangsa memakai barangan kemas yang banyak, dipercayai suspek terdesak sehingga melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.
Abd Khalid berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala reman suspek akan dimohon pada pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan