MUHAMMAD Sajjad Kamarzzaman atau dikenali ramai dengan nama Nur Sajat dinasihatkan supaya menyerah diri kepada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya bulan lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, isu itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik.
“Saya ingin menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa dengan pegawai JAIS dan selesaikan isu ini secara baik.
“Ini supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai JAIS mengenai isu ini, apa yang saya lihat tindakan oleh JAIS adalah sesuai dengan keadaan,” katanya seperti dilapor BERNAMA.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan kepada kira-kira 150 petugas badan keagamaan kerajaan di dewan Kompleks Darul Kifayah, Labuan.
Dr Zulkifli berkata, Sajat juga tidak seharusnya mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam,” katanya.
Baca artikel berkaitan:JAIS akan ‘cari dan tangkap’ Sajat sebaik sahaja terima waran
Tidak hadir perbicaraan, mahkamah keluar waran tangkap untuk Sajat
Januari lepas Nur Sajat mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenaan, bulan lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan