Khamis, 4 Mac 2021

Potong giliran: Denda RM50,000, penjara 6 bulan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
DR. ADHAM BABA

PUTRAJAYA: Individu yang memotong giliran bagi mendapatkan vaksin lebih awal dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berdepan penalti denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penguatkuasaan akan dibuat mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang akan berkuat kuasa 11 Mac ini.

Beliau berkata, pihaknya boleh menggunakan Seksyen 31 yang memberi punca kuasa untuk pengenaan penalti mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan dalam akta berkenaan.

“Peraturan bawah subseksyen baharu ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan dalam Akta 342 menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

“Kita ada Seksyen 21A yang dipanggil peruntukan baharu, (memberi) kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, membolehkannya mengeluarkan apa-apa cara, cara yang hendak dibuat.

“Sebagai contoh, seseorang dijadualkan mengambil pelalian tetapi mereka tidak datang (tanpa alasan munasabah) atau kita sudah beri nama untuk mendapat suntikan pada tarikh tertentu tetapi dia tiba-tiba potong giliran,” katanya di sini, semalam.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 turut menyertakan 10 peruntukan termasuk lima peruntukan baharu dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bagaimanapun, Adham berkata, setakat ini Kementerian Kesihatan belum menerima laporan rasmi membabitkan mana-mana individu memotong giliran untuk mendapatkan vaksin.

Sementara itu, Adham memberitahu, Sijil Vaksinasi Pintar atau ‘Smart Vaccination Certificate’  akan diperkenalkan sebagai pengenalan khas untuk mereka yang sudah disuntik vaksin Covid-19 dalam masa sebulan lagi.

Berhubung permintaan hospital swasta untuk mendapatkan bekalan vaksin sendiri, beliau berkata, buat masa ini, perolehan hanya dibuat kerajaan yang diagihkan secara percuma kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, peranan hospital swasta akan dilibatkan pada fasa kedua Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan iaitu membantu kerajaan menyediakan fasiliti dan petugas untuk vaksinasi.

Sementara itu, Adham memberitahu, Sijil Vaksinasi Pintar atau ‘Smart Vaccination Certificate’  akan diperkenalkan sebagai pengenalan khas untuk mereka yang sudah disuntik vaksin Covid-19 dalam masa sebulan lagi.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: