Khamis, 4 Mac 2021

Penyelesaian global 1MDB bukti kerajaan tidak berkompromi – Tengku Zafrul

MGF141120_PC-MENTERI-KEWANGAN-11
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Penyelesaian global membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak dana tersebut.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pada bulan Julai 2020, kerajaan telah berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (USD3.9 bilion).

AMMB Holdings Berhad juga telah bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1MDB.

Terbaharu, Deloitte PLT bersetuju dengan penyelesaian RM324 juta (USD80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan kewajipan fidusiari mereka semasa mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd untuk tempoh 2011 – 2014.

Menurutnya, penyelesaian dengan Deloitte merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh firma audit di Asia Tenggara.

”Penyelesaian ini adalah sebahagian daripada usaha tuntutan oleh Kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

”Penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia. Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

”Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa,” katanya dalam kenyataan Laporan Laksana Ke-43 hari ini.

Tegas beliau, sepanjang setahun lalu, kerajaan tidak pernah berkompromi di dalam menegakkan keadilan dan memastikan individu yang terlibat terus didakwa di mahkamah.

Tambah beliau, penyelesaian global ini juga tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan dengan skandal 1MDB. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: