ISKANDAR PUTERI: Para penerima bantuan tunai di bawah Agenda Johor Berkebajikan mengakui bantuan tersebut besar maknanya bagi meringankan beban mereka terutamanya semasa pandemik Covid-19 ketika ini.
Bantuan terbahagi kepada tiga kategori itu antaranya kepada pembeli Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) sebanyak RM3,000; bantuan peniaga dan penjaja berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 dan bantuan mahasiswa anak Johor B40 sejumlah RM150.
Menurut salah seorang pembeli RMBJ, Siti Fatimah Abdul Aziz Munawar, 26, dia gembira menerima bantuan tersebut yang membolehkannya membeli barang kelengkapan rumah baharu miliknya.
“Alhamdulillah, rezeki saya untuk memiliki RMBJ yang terletak di Ulu Tiram. Rezeki menjadi berganda apabila menerima pula baucar ini, terima kasih kepada kerajaan negeri yang melakukan inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan itu yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga pasar malam di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pasir Gudang, M. Kumaran, 50, berkata, bantuan itu akan digunakan bagi menampung perbelanjaannya sekeluarga.
”Peniaga pasar malam seperti saya memang antara golongan yang sangat terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan saya dan keluarga.
”Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan ini. Saya juga bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan sektor perniagaan kecil seperti pasar malam untuk beroperasi semula mulai Jumaat ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang mahasiswa yang menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Lim Jia Xin, 22, mengakui pemberian wang tunai RM150 itu dapat membantunya membeli keperluan pembelajaran, khususnya data internet.
”Seperti ramai yang sedia maklum, kebanyakan pembelajaran kini menggunakan banyak sistem atas talian. Justeru, dengan adanya bantuan ini saya dapat membeli data internet untuk tujuan pembelajaran,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan