Nur Fazlizai Ali
Kapal maritim KM Satria sedang melakukan rondaan ketika terserempak dengan
dua bot nelayan Vietnam pada Rabu. - Foto fail
KEMAMAN:
Padah menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim
Malaysia) menggunakan parang, tiga nelayan Vietnam cedera terkena
tembakan.
Terdahulu, dalam kejadian
kira-kira jam 5.25 pagi Selasa itu, seorang anggota Maritim Malaysia
nyaris maut ditetak ketika menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan.
Pengarah
Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud
berkata, kapal maritim KM Satria sedang melakukan rondaan dan
terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan
negara.
Katanya
menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua bot tersebut cuba
meloloskan diri dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk
menahan mereka.
"Bagaimanapun ketika
menghampiri bot tersebut, tiga nelayan yang bersenjatakan parang, besi
pemberat pukat, tukul besi dan besi penyodok tanah, bertindak menyerang
anggota kita menyebabkan anggota melepaskan beberapa das tembakan amaran
ke udara.
"Situasi tegang ketika itu
membuatkan anggota tiada pilihan lain lalu terpaksa melepaskan tembakan
amaran ke arah bot bagi menghentikan tindakan ganas nelayan asing
tersebut serta demi untuk mempertahankan diri.
"Serpihan tembakan kemudian mencederakan dua awak-awak dan seorang tekong," katanya di sini pada Rabu.
Beliau
berkata seramai 19 nelayan termasuk seorang tekong yang semuanya
berumur 16 hingga 60 tahun itu telah berjaya ditahan sekitar jam 8.55
pagi.
Susulan penahanan itu juga pihaknya
berjaya merampas sebuah bot dan ikan segar seberat 500 kilogram yang
secara keseluruhan dianggar bernilai RM1.5 juta ringgit.
Jelasnya tiga nelayan yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) Kuantan, untuk rawatan lanjut.
Kata
beliau lagi, bot yang ditahan serta awak-awak dibawa ke jeti Pangkalan
Maritim Kemaman kira-kira jam 12.00 tengah hari Rabu untuk siasatan
lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Akta
Imigresen 1959/1963.
Tambah beliau, tiga
nelayan asing terbabit turut akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun
Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana
menghalang tugas penjawat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan