Khamis, 4 Mac 2021

9 penghuni rumah anak yatim dijumpai selepas 10 jam larikan diri

Oleh ASLIZA MUSA
A. ASMADI ABD. AZIZ

IPOH: Sembilan remaja lelaki dilaporkan ‘hilang’ setelah melarikan diri dari sebuah asrama anak-anak yatim di Chemor, awal pagi hari ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 10 hingga 14 tahun itu bagaimanapun ditemukan selepas lebih 10 jam usaha mencari dijalankan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, kehilangan semua remaja itu disedari pentadbir asrama berkenaan pada pukul 6 pagi.

Katanya, pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mereka keluar melalui pintu bahagian kanan asrama yang tidak berkunci pada pukul 4 pagi.

“Usaha mencari mereka segera dijalankan oleh pentadbir asrama itu bersama Ketua Polis Balai Tanah Hitam.

“Lima daripada sembilan remaja itu berjaya dijumpai di kafe siber di Klebang Putra pada pukul 2.15 petang manakala selebihnya dikesan berada di stesen bas Kuala Kangsar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati empat remaja itu telah menghubungi keluarga masing-masing minta diambil untuk pulang ke rumah.

Katanya, kereta peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berkaitan telah menemui dua daripada mereka dengan dua yang lain telah pun pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka dipercayai melarikan diri dari asrama untuk pulang ke rumah. Siasatan kes ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: