PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan memandang serius tindakan “Nur Sajat” mengumumkan kepada umum bahawa dirinya berniat untuk menukar agama, ekoran konflik dengan pihak berkuasa agama.
Luqman Abdullah juga memandang serius pengakuan terbuka seorang artis mendakwa dirinya seorang transgender, menyifatkan “tanpa segan silu menzahirkan rasa bangga kerana menjadi seorang pondan”.
Mufti melihat kenyataan mereka memberikan kesan mendalam terhadap umat Islam, mengatakan segelintir beranggapan perbuatan itu tidak menyalahi agama, sekali gus dibimbangi akan membuka pintu keburukan lain.
“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ingin menasihatkan kepada seluruh umat di negara ini supaya sentiasa memelihara maruah diri masing-masing, terutamanya dengan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum.”
Luqman menasihati setiap orang Islam supaya memelihara maruah diri dan mengingatkan mereka agar menghormati perlembagaan dan undang-undang, khususnya berkaitan jenayah Syariah.
“Janganlah kita bersikap mementingkan diri sendiri dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang boleh membuka keaiban diri sendiri sehingga mendatangkan fitnah kepada agama.”
Mufti juga mengajak masyarakat sekalian agar menghormati norma masyarakat yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam perbezaan gender antara lelaki dan wanita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan