Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
SEGAMAT – Seorang pelajar tingkatan 5 maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 67, Jalan Muar -Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat menghala masuk ke Universiti Teknologi Mara (UITM) Segamat, disini, petang, semalam.
Mangsa, Jamal Farhan Jaafar, 17, maut dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda 250 ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut rakan sekelas, Siti Nur Farhana Zulkeflee, 17, mangsa sejak kebelakangan ini kerap menghantar pesanan ringkas di grup WhatsApp meminta dihalalkan makan minum beberapa hari sebelum nahas.
“Ketika Jamal menghantar WhatsApp meminta maaf, dia juga menyebut bukan hendak mati kepada semua rakan yang ada, kami ingatkan dia sekadar bergurau dan tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Ada antara kami yang balas mesej itu dengan membuat lawak dan dia membalas kembali dengan mesej ceria,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Lebar Batu Anam disini, hari ini.
Pesanan ringkas oleh Jamal dan kejadian kemalangannya itu mulai tular di media sosial rakan-rakan sekolahnya sejak pukul 6.15 petang semalam.
Jamal yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan Batu Anam, Segamat adalah ketua kelas kepada 23 pelajar, menjadi penghibur dalam kalangan rakan-rakannya setiap kali waktu rehat dan kini, pemergiannya amat dirasai.
“Dia selalu berpesan kepada kami supaya mematuhi peraturan jalan raya serta menjaga nama baik sekolah dengan belajar bersungguh-sungguh selain menghormati guru dan ibu bapa,” tambah Siti Nur Farhana lagi.
Mereka juga baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran Jamal pada 28 Februari lalu secara dalam talian walaupun hari lahirnya sepatutnya diraikan setiap empat tahun sekali kerana dilahirkan pada tahun lompat, 29 Februari 2004.
Mereka masih lagi seakan-akan tidak percaya dengan kejadian yang menimpanya, tetapi, reda dengan pemergiannya.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada November tahun lalu. Dia adalah antara penghuni di asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kenangan sementara keluarganya menetap di Kampung Paya Lebar, Segamat.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Paya Luas di Batu Anam di sini, sebelum waktu Zohor.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepalanya,” katanya.
Tambah Raub, pemandu pacuan empat roda yang melanggar mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan saksi diminta menghubungi Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Segamat ditalian 07-9325811 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan