Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri masih berharap panggilan menunaikan ibadah haji tahun ini meskipun impian sejak 12 tahun lalu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tidak kesampaian.
Tambah menyedihkan, mereka sepatutnya ke Tanah Suci tahun lalu namun kerajaan menangguhkan menghantar jemaah ekoran Covid-19.
Abdul Wahab Attan, 61, berkata, dia dan isteri, Nor Midah Ariff, 65, sehingga kini masih tidak menerima sebarang panggilan daripada Tabung Haji sama ada berpeluang menjadi tetamu Allah atau sebaliknya untuk tahun ini.
“Setiap masa saya menunggu panggilan Tabung Haji jika kami diberi peluang menunaikan haji tahun ini. Namun setakat ini, tiada lagi.
“Saya tak berhasrat menghubungi Tabung Haji, tunggu sahajalah. Kami berharap diberikan peluang setelah bertahun-tahun menunggu giliran.Sepatutnya tahun lalu, namun sebab Covid-19, kami reda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan kerajaan menangguh penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci ekoran Covid-19.
Abdul Wahab berkata, mereka masih menyimpan beg pakaian termasuk kain ihram di kediaman terletak di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru yang telah pun disiapkan lebih awal sebelum berangkat ke Tanah Suci pada tahun lalu.
Menurutnya, walaupun masih berharap namun dia reda terhadap sebarang ketentuan takdir kerana segala keputusan dibuat kerajaan selama ini mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesan penularan virus Covid-19 kepada jemaah.
Selain itu, Nor Midah berharap, dia dan suami diberikan kesihatan dan dipanjangkan umur sehingga musim haji seterusnya supaya dapat menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima itu.
“Kami dimaklumkan diutamakan untuk giliran tahun ini, namun, makcik dan suami cuma ingin sihat tubuh badan seperti mana hari ini. Oleh itu, makcik setiap hari berdoa agar sentiasa sihat.
“Apa-apa pun makcik pasrah terhadap segala ketentuan yang akan berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan