Isnin, 1 Mac 2021

Lagi mangsa kena tipu ‘pegawai LHDN’

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK 
 
  MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF

KUANTAN: Berwas[pada dan selidik terlebih dahulu apabila menerima panggilan telefon daripada individu mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini kerana seorang pengurus ladang di Mentakab, Temerloh dekat sini menjadi mangsa terbaharu dengan kerugian RM8,500 akibat ditipu ‘scammer’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 44 tahun itu dihubungi suspek, petang semalam.

“Petang Ahad semalam, mangsa terima panggilan telefon mengatakan daripada LHDN Cyberjaya.

“Suspek mengatakan syarikat milik mangsa mempunyai tunggakan cukai yang belum dijelaskan sebanyak RM38,000. Dia (mangsa) menafikan hal tersebut kerana tidak mempunyai syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, suspek mengatakan kad pengenalan mangsa mungkin digunakan pihak lain untuk mendaftar syarikat dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Katanya, talian telefon kemudian disambungkan kepada individu menyamar polis yang kononnya sedang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

“Sejurus selepas talian disambungkan, suspek menyamar polis itu menyuruh mangsa memuat turun aplikasi palsu Bank Negara, MyBNM.

“Selepas memuat turun, mangsa diarahkan mengisi butir dokumen peribadi serta maklumat perbankan termasuk kata laluan akaun secara dalam talian dan nombor PIN kad bank,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga disuruh memindahkan wang daripada akaun Maybank dan Ambank untuk dimasukkan ke akaun Public Bank miliknya sendiri.

“Mula berasa curiga, mangsa kemudian memeriksa baki akaunnya dan mendapati sejumlah wang dipindahkan ke dalam akaun milik seorang wanita,” katanya.

Lelaki itu lantas tampil ke Balai Polis Mentakab untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: