Isnin, 1 Mac 2021

Dua anggota polis ditempatkan di sekolah pantau SOP

Oleh AZAHAR HASHIM
AZHAR Hashim memberi penerangan mengenai SOP kepada pelajar tahun satu di SK Air Merah, Kulim, Kedah hari ini. - FOTO/AZAHAR HASHIM

KULIM: Dua anggota polis akan ditempatkan di semua sekolah di daerah ini bagi pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, setiap sekolah di daerah ini mempunyai seorang pegawai perhubungan sekolah dan seorang pembantu dalam kalangan anggota polis akan menjalankan tugas tersebut.

Menurutnya, sebanyak 36 buah Sekolah Kebangsaan, 12 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 16 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di daerah ini yang dibuka untuk sesi persekolahan tahun satu dan dua pada hari ini.

“Hasil pemantauan saya pada pagi ini didapati kesemua sekolah mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan seperti penggunaan pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pengambilan suhu serta penjarakan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Merah di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Air Merah, Sabarina Said berkata, semua pihak melibatkan murid, guru dan kakitangan sekolah memberi kerjasama yang baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19. 

“Pihak sekolah memberi keyakinan kepada waris bahawa pihak sekolah akan memastikan anak-anak tidak melanggar SOP ditetapkan itu,” katanya

Tambahnya, seramai 300 murid tahun satu dan dua belajar di sekolah itu pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: