Isnin, 1 Mac 2021

Imunisasi Covid-19: Tiada isu potong giliran di Perak

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
SAARANI Mohamad menerima suntikan imunisasi Covid-19 pada Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Tiada isu potong giliran dalam program imunisasi vaksin Covid-19 di Perak yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, program imunisasi Covid-19 diagihkan secara adil dan jadual imunisasi telah dibuat lebih awal dengan seramai 221 orang menerima suntikan vaksin pada hari pertama program tersebut hari ini.

Menurutnya, hari ini beliau dan exco kerajaan negeri merupakan antara 221 orang yang menerima suntikan vaksin Covid-19 selain daripada petugas barisan hadapan.

“Di Perak, kita sudah buat jadual untuk imunisasi Covid-19 yang mana hari ini saya dan 10 exco menerima suntikan.

“Kita buat hari ini seramai 221 orang yang menerima vaksin, bermakna 210 lagi adalah orang lain selain exco dan Menteri Besar, jadi ini cukup adil maka jangan bimbang. Tak ada isu potong giliran sebab dalam jadual asal pada hari pertama imunisasi ini kita bagi pada Menteri Besar dan exco,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima suntikan imunisasi Covid-19 pada Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Saarani berkata, seramai 221 petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertugas di pejabat-pejabat kesihatan dan makmal-makmal kesihatan sekitar daerah Kinta menerima imunisasi Covid-19 hari ini.

Menurutnya, Perak menerima sebanyak 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19.

“Seramai 39,760 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama program ini yang dijangka selesai pada penghujung April ini. 

“Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementerian Kesihatan manakala 17,666 lagi merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

“Pemberian Imunisasi Fasa Pertama ini meliputi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik-klinik kesihatan, hospital dan dewan-dewan yang dikenal pasti di seluruh daerah di negeri Perak,” katanya.

Mengenai rungutan ramai terhadap dakwaan kerajaan mendahulukan pemimpin berbanding rakyat dalam pemberian imunisasi Covid-19, Saarani berkata, perkara itu telah dibincangkan sebelum ini.

Beliau berkata, ada yang berpandangan mengatakan lebih baik beri vaksin kepada orang ramai terlebih dahulu dan pemimpin kemudian, namun ada rungutan cara itu kononnya rakyat menjadi mangsa dalam percubaan vaksin tersebut.

“Sekarang kita buat keputusan, beri pada pemimpin dahulu supaya ia menjadi contoh yang baik namun orang merungut juga. Apa yang kita putuskan ini memberi ruang kepada orang ramai untuk membuat tafsiran yang bermacam-macam. 

“Jadi saya nasihatkan jangan runsing apa-apa, ikut saja keputusan yang dibuat kerana kerajaan sudah tentu akan berbuat sesuatu yang baik untuk rakyatnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: