Rabu, 24 Mac 2021

Kecoh gadis mengaku kenal Imam Mahdi, abang tampil jernihkan keadaan

Tangkap layar kicauan gadis yang mendakwa diri mengenali Imam Mahdi.

Dakwaan seorang gadis bahawa dirinya mengenali Imam Mahdi menjadi kecoh di laman Twitter sehingga menimbulkan rasa marah dalam kalangan warga maya.

Dalam kicauan itu, gadis berkenaan mengatakan Imam Mahdi berasal daripada keluarganya dan terpaksa merahsiakan identiti sehingga sampai masa yang sesuai.

Namun, dalam kekalutan yang ditimbulkan oleh gadis berkenaan, seorang pemuda yang mengakui dirinya abang kepada gadis itu tampil menjelaskan perkara sebenar.

Ihsan Syakirin, 23 bertindak memohon maaf bagi pihak adiknya yang dikatakan “tidak sihat” seperti orang normal sekiranya perkara tersebut telah mengundang kekeliruan dan salah faham banyak pihak.

Katanya adiknya itu mengalami masalah fikiran bercelaru atau skizofrenia sejak bangku sekolah lagi.

“Adik saya mengalami masalah itu sejak sekolah menengah lagi dan hijabnya memang terbuka.

“Dia sering mendengar bisikan-bisikan dan kerap diserang histeria semasa zaman sekolah menengah,” kata Ihsan kepada UtusanTv.

Tinjauan UtusanTV mendapati akaun adik Ihsan telah dinyahaktif.

Rata-rata warga maya yang membalas kicauan Ihsan dilihat bersimpati dengan apa yang telah berlaku selepas mengetahui perkara sebenar.

Ihsan turut menjelaskan keluarganya sudah mencuba sedaya upaya untuk berubat dan hampir setiap minggu berbuat demikian bagi mencari jalan mengubati penyakit adiknya itu.

Katanya secara fizikal adiknya adalah seorang yang sihat, periang dan selalu senyum, akan tetapi ada ketika masalah yang dihadapi berlaku secara tiba-tiba.

“Tak boleh nak dimarah, tak boleh dikongkong kerana beliau istimewa. Adik saya maafkan semua orang dan beliau turut mohon maaf”.

Tiada ulasan: