Rabu, 24 Mac 2021

Jangan risau..Suntik vaksin Covid-19 tak batal puasa


Saya nasihat saudara

BAGI sesiapa yang meragui sama ada suntikan vaksin Covid-19 akan menjejaskan ibadah puasa menjelang Ramadan bakal kunjung tiba tidak lama lagi, jangan risau kerana ia tidak membatalkan puasa.

Perkara itu malah telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan sejak dua bulan lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, pengambilan suntikan vaksin Covid-19 tidak membatalkan puasa itu juga sejajar dengan pandangan hampir seluruh dunia.

“Kita sudah putuskan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, suntikan vaksin untuk Covid-19 ini dibolehkan dan ia juga sudah diputuskan sejak dua bulan lalu.

“Hampir seluruh dunia mengiakannya dan yang terbaharu pandangan Mufti Besar Arab Saudi bahawa ia tidak membatalkan puasa.

“Ia juga sejalur dengan pandangan ulama lain,” katanya seperti laporan BH Online hari ini.

Baca artikel berkaitan: 30,861 individu sudah lengkapkan dos kedua vaksin

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Haji Travel berupa komputer riba kepada 40 pelajar asnaf di Kolej Uniti Tanjong Agas di Port Dickson, hari ini.

Awal bulan ini, kumpulan perubatan Islam di United Kingdom turut mengeluarkan kenyataan bahawa mengambil suntikan vaksin Covid-19 tidak akan membatalkan puasa pada bulan Ramadan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kebimbangan semakin meningkat apakah ibadah puasa boleh terbatal jika menerima suntikan vaksin tersebut.

Negara jiran, Singapura juga seiring dengan pandangan bahawa pengambilan vaksin tidak akan membatalkan puasa seseorang.

Penjelasan itu diberi berikutan beberapa pertanyaan diterima Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) daripada penduduk Islam republik tersebut yang bakal menjalani vaksinasi pada bulan Ramadan nanti.

Menurut kenyataan Pejabat Mufti Singapura yang disiarkan di akaun Facebooknya, 17 Mac lalu, ujian calitan menerusi hidung juga tidak membatalkan puasa.

Tiada ulasan: