Rabu, 24 Mac 2021

Berputih mata 3,000 ikan patin mati

Oleh AIMUNI TUAN LAH
MAT Nawi Hussin melihat ikan patin di kolamnya yang mati akibat cuaca panas sejak seminggu lalu.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Penternak di Kampung Lepan Jaya di sini menanggung kerugian sehingga RM15,000 apabila kira-kira 3,000 ikan patin diternak dalam kolam mati dipercayai akibat cuaca panas sejak seminggu lalu.

Mat Nawi Hussin, 62, dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, sebanyak 100 hingga 500 ikan patin dijumpai mati dan terapung di permukaan kolam setiap hari.

“Dengan keadaan cuaca panas terik dan kemarau sekarang, air di lapan kolam ikan milik saya semakin surut kerana tidak hujan sejak dua bulan lalu.

“Sebelum ini, saya bergantung kepada sumber air dari bukit berhampiran kolam, namun, air bukit juga sudah kering,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Lepan Jaya, di sini hari ini.

Mat Nawi berkata, jika cuaca panas berterusan, dia bimbang kejadian serupa berlaku kepada hampir 100,000 ternakan ikan air tawar membabitkan pelbagai spesies.

Katanya, kejadian sama menimpa ikan kelah peliharaan saya dan jika kesemua 6,000 ikan berharga RM300 sekilogram ini mati, saya bakal berdepan kerugian besar.

“Selain kelah, saya mempunyai 30,000 patin, 30,000 tilapia, 10,000 ampan, 6,000 tongsang dan 6,000 jelawat.

“Semua ikan itu sudah besar dan dalam proses untuk dipasarkan. Ada antara ikan itu mencecah berat antara setengah kilogram hingga lebih satu kilogram seekor,” katanya.

Sementara itu, isteri Mat Nawi, Siti Zaharah Daud, 52, berkata, ikan mati akibat cuaca panas adalah kejadian kali pertama sejak mereka mengusahakan ternakan ikan sejak 30 tahun lalu.

“Sekarang setiap hari anak lelaki kami Ibrahim, 26, akan membantu menanam bangkai ikan yang mati itu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: