Khamis, 7 Januari 2021

Terperangkap banjir kerana tertidur di bangsal lembu

BH ONLINE
Anggota bomba dan penyelamat Jeli menemui warga emas yang tertidur di pondok bangsal lembu hingga mencetuskan kebimbangan keluarga selepas kawasan sekitarnya ditenggelami banjir di Sungai Lanas, Jeli. - Foto Bomba
Anggota bomba dan penyelamat Jeli menemui warga emas yang tertidur di pondok bangsal lembu hingga mencetuskan kebimbangan keluarga selepas kawasan sekitarnya ditenggelami banjir di Sungai Lanas, Jeli. - Foto Bomba

JELI: Leka mengawasi lembu hingga tertidur di bangsal dalam kebun getah dinaiki air dekat Kampung Sungai Lanas di sini, menyebabkan seorang warga emas nyaris terperangkap banjir di situ.

Kelekaan Muhamad Zakaria, 69, memerhati lembu dan air yang semakin memenuhi kebun getah itu membuatkan dia tertidur di bangsal ternakannya selama beberapa jam, mencetuskan kebimbangan isterinya yang menyangka dia hilang tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim, berkata pihaknya dimaklumkan isteri mangsa sebaik terserempak pasukannya yang membuat pemantauan banjir kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, isteri warga emas itu terus menahan kenderaan bomba dan memaklumkan kehilangan suaminya yang keluar dari rumah selepas Subuh pagi tadi untuk mengalihkan lembu peliharaannya.

"Wanita itu memberitahu, kebiasaannya mangsa hanya menjenguk haiwan peliharaan sekejap sahaja setiap hari, namun hari ini agak lama dan menimbulkan kerisauan berikutan laluan untuk ke kebun getah berisiko ditenggelami banjir.

"Susulan maklumat itu, saya mengarahkan anggota menurunkan bot melancarkan mengesan warga emas terbabit," katanya ketika dihubungi.

Adni berkata, jarak dari rumah mangsa ke kebun getah berkenaan kira-kira empat kilometer dan laluan sejauh 500 meter sebelum bangsal lembu warga emas itu sudah ditenggelami air sedalam 0.8 meter.

Beliau berkata, banjir menyebabkan lokasi bangsal lembu mangsa menjadi seperti pulau apabila kawasan sekelilingnya sudah ditenggelami air akibat hujan lebat serta limpahan sungai berhampiran.

"Sebaik tiba di bangsal itu, kami mendapati warga emas terbabit tertidur sebelum segera mengejutkannya kerana air semakin naik.

"Mangsa memberitahu dia asyik memerhatikan air yang meningkat hingga menyebabkannya dia tertidur tanpa menyedari sudah tengah hari," katanya.

Beliau berkata, operasi dilakukan dengan segera kerana bimbang paras air akan semakin meningkat.

"Operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar dan mangsa dihantar pulang ke rumah dengan selamat," katanya.

Tiada ulasan: