Sabtu, 30 Januari 2021

426 ditahan ingkar SOP PKP

 Oleh Ilah Hafiz Aziz

  Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 426 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 404 individu dikompaun, manakala 21 direman dan seorang dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan seramai 93 orang, tidak memakai pelitup muka (88) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81).

"Kesalahan lain merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (40), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (24), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasukan pematuhan membabitkan seramai 13,091 anggota melakukan pemantauan di 3,880 pasar raya, restoran (5,043), penjaja (1,834), kilang (1,517) dan bank (3,311).

Katanya, dalam Op Benteng pula seramai 23 pendatang tanpa izin ditahan dan lima kenderaan darat serta dua bot dirampas.

"Sebanyak 164 bot dan kapal dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan," katanya memaklumkan penguatkuasa pelbagai agensi menjalankan 538 sekatan jalan raya di seluruh negara, semalam," katanya.

Ismail Sabri berkata, Ops Sanitasi juga diteruskan seperti biasa dan semalam sebanyak 92 operasi dilaksanakan meliputi 40 zon merah, tiga zon jingga, 10 zon kuning dan satu zon hijau.

"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah melakukan 19 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara dan mendapati semuanya mematuhi SOP yang ditetapkan.

"CIDB sudah melakukan 14,840 pemeriksaan membabitkan 8,404 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, beliau berkata sejumlah 133 daripada 8,601 warga asing disahkan positif COVID-10 dalam program Kementerian Sumber Manusia itu.

"Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 251,101 pekerja asing menjalani ujian saringan membabitkan 10,500 majikan dan daripada jumlah itu, seramai 4,735 orang disahkan positif COVID-19, manakala 246,366 lagi negatif," katanya.

Katanya, pemantauan harian oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 11 jenis bekalan barangan mendapati ia dalam keadaan stabil dan mencukupi.

"Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 1,632 premis mematuhi SOP dan 22 diberi nasihat manakala dua lagi dikompaun," katanya.

Tiada ulasan: