Sabtu, 30 Januari 2021

Kerani sekolah redah hujan, banjir hantar bahan PdPR pada murid tiada internet

Menyedari akan kepentingan setiap pelajar memperoleh bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seorang kerani sekolah di Kota Belud, Shafiq Shazwan Juhen sanggup meredah hujan dan banjir untuk menghantar bahan berkenaan ke rumah pelajar.

Usaha dilakukan Shafiq Shazwan, 23, kerani Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud itu penting kerana talian internet di tempat tinggal pelajar di Kampung Pituru di situ yang menurutnya bagaikan 'hidup segan mati tidak mahu', menyukarkan untuk mengikuti PdPR secara dalam talian.

Shafiq berkata sebagai anak jati kampung itu dan bekas pelajar sekolah tersebut, dia amat memahami apa yang dihadapi pelajar terbabit, justeru nekad menawarkan diri secara sukarela bagi membantu guru menyampaikan bahan PdPR buat pelajar mereka.

"Talian internet di kampung itu memang sangat perlahan apatah lagi ketika cuaca hujan, memang sukar untuk mengikut PdPR secara dalam talian… ada juga pelajar akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi saya tidak mahu pelajar tercicir," katanya kepada Bernama.

Menceritakan pengalaman memulakan usaha itu, dia yang baru setahun menjadi kerani sekolah itu berkata pada 7 Dis lepas selepas selesai bekerja pada 5 petang, dia dengan rela hati membawa bahan PdPR tersebut untuk diserahkan kepada lebih 20 pelajar sekolah berkenaan yang tinggal di Kampung Pituru.

"Masa itu saya masih berulang alik dari kampung ke sekolah dan kebetulan guru sekolah perlu menyerahkan bahan itu kepada pelajar di Kampung Pituru dan saya dengan rela hati membawa bahan berkenaan.

"Bagi mengelak bahan itu basah, saya balut dengan plastik sebab masa itu saya minta kawan tolong hantar ke kampung dan dalam keretanya pula tiada payung, saya tiada pilihan melainkan meredah hujan dan banjir," katanya.

Banjir di Kota Belud pada Jun 2020

Shafiq Shazwan yang kini tinggal di perumahan guru sekolah itu berkata dia berdepan pelbagai cabaran antaranya membawa bahan itu seberat dua kilogram sambil meredah banjir sejauh dua kilometer demi menyampaikan bahan PdPR kepada pelajar yang memerlukan.

Dia berkata perjalanan dari kampung itu ke sekolah berkenaan sejauh kira-kira 20 kilometer dan jika berlaku banjir penduduk di kampung itu pasti akan terputus hubungan kerana hanya ada satu jalan utama sahaja yang menjadi penghubung untuk ke Pekan Kota Belud.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan Jainol Sair berkata penyampaian bahan PdPR itu merupakan pendekatan secara luar talian bagi membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet supaya dapat mengikuti pembelajaran mereka.

Jainol berkata ia selaras dengan budaya peduli yang diamalkan di sekolah berkenaan iaitu menerapkan agar setiap warga sekolah termasuk komuniti sentiasa mengambil berat tentang peranan masing-masing untuk membantu kumpulan sasar.

Jainol berkata pihak sekolah akan menghantar bahan-bahan PdPR ke kampung-kampung dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau pengawal sekolah kepada ibu bapa untuk diserahkan kepada anak masing-masing.

"Dalam keadaan pandemik ketika ini, pihak sekolah menggunakan pendekatan budaya peduli ini untuk bersama-sama menyampaikan maklumat khususnya dalam mendidik anak-anak kerana itulah yang kita harapkan," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: