KUCHING: Kekurangan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditampung dengan sumbangan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), hari ini.
Seramai 12 pegawai dan 120 anggota tentera tampil menderma darah anjuran Tabung Darah HUS dan Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Hamid Bugo, Kem Ria, di sini.
Timbalan Komander Rejimen 511 AW, Leftenan Kolonel Mohd Nadzri Ismail, berkata penderma membabitkan anggota pasukan berkenaan selain pegawai dan anggota tetap TDM yang bertugas di kawasan naungan Briged Ketiga Infantri Malaysia.
Beliau berkata, Tabung Darah HUS menetapkan sasaran untuk mendapatkan 120 pain darah pada program berkenaan.
"Dengan jumlah pegawai dan anggota yang tampil hari ini, kita berjaya membantu Tabung Darah HUS mencapai sasaran mereka," katanya.
Yang turut hadir, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad dan Komander Rejimen 511 AW, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki.
Sementara itu, Azhar berkata, program berkenaan sejajar dengan tonggak kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang menekankan peningkatan hubungan TDM bersama masyarakat awam.
"Justeru, kerjasama dengan jabatan dan agensi awam untuk mengadakan program seperti menderma darah amat digalakkan selain dapat meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat," katanya yang turut menderma darah pada program itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan