Sabtu, 30 Januari 2021

48 petugas kesihatan HSNZ dijangkiti COVID-19

Nur Fazlizai Ali
48 petugas kesihatan HSNZ dijangkiti COVID-19
Seramai 48 petugas kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ) 
dijangkiti COVID-19 sehingga Jumaat. -Gambar fail
 
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
 
Pengarahnya Dr Nor Azimi Yunus berkata sehingga Jumaat, seramai 48 petugas kesihatan dikesan dijangkiti COVID-19.
 
Katanya, kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan, manakala kontak rapat bagi kes berkenaan telah disaring serta diasingkan.
 
Jelas Dr Nor Azimi, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan.
Katanya, pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.
 
Selain itu perkhidmatan rawatan rapi (ICU), dewan bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan.
 
Namun bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan untuk rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ ditutup sementara bermula 29 Januari 2021.
 
Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (green zone) masih boleh mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar HSNZ atau klinik-klinik kesihatan berhampiran.

Tiada ulasan: