Ahad, 31 Januari 2021

PKP dilanjut?

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Mungkinkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selepas 4 Februari ini?

Atau kerajaan akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di negeri-negeri yang berlaku kenaikan kes mendadak Covid-19?

Kemungkinan itu boleh berlaku memandangkan kes harian Covid-19 hampir mencecah 6,000 kes dua hari berturut-turut dengan merekodkan 5,728 kes semalam dan 5,725 kes sehari sebelumnya.

Ditanya berhubung ramalan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada melanjutkan atau menamatkan PKP mengikut kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, bagaimanapun, segala pertimbangan akan diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan dimaklumkan dua hari sebelum tempoh PKP  berakhir.

“Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian risiko. Segala keputusan akan dimaklumkan pada  sidang Khas MKN,” katanya semalam.

Jumlah kes positif melebihi 5,000 itu berlaku lebih awal berbanding jangkaan KKM yang diunjurkan hanya akan direkodkan pada minggu ketiga Februari.

Jangkaan lebih buruk pula akan dicatatkan sehingga 8,000 kes pada minggu ketiga Mac ini  jika unjuran kes dengan kadar kebolehjangkitan (R0)  pada 1.2.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pernah membayangkan hanya pelaksanaan PKP empat minggu mampu menurunkan kepada 1,000 kes positif atau sekurang-kurangnya 500 kes bagi membolehkan fasiliti kesihatan negara mampu menampung kes positif Covid-19.

Namun, beliau optimis langkah kerajaan melaksanakan perintah itu berada di landasan betul dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan  walaupun jangkaan itu hanya berlaku dalam tempoh 12 minggu.

Tempoh dua minggu pelaksanaan perintah itu, menurutnya, hanya boleh mengelak pertambahan kes dan berada pada tahap terkawal. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: