Sabtu, 30 Januari 2021

62 sukarelawan terima suntikan vaksin Covid-19 hari ini

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seramai 62 sukarelawan terpilih menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berjadual bermula hari ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan di laman sosial Facebook kementerian itu, kajian vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia telah bermula hari ini di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

"Kajian vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia telah bermula hari ini di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

"Seramai 62 individu yang sihat telah dipilih menjadi sukarelawan. Suntikan bermula hari ini dan beberapa hari seterusnya mengikut jadual," kata KKM.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 3,000 sukarelawan akan menyertai kajian klinikal fasa tiga ini.

Jelasnya, inisiatif ini adalah kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Kajian itu katanya berupaya memainkan peranan bagi menjana bukti saintifik dalam pembangunan vaksin SARS-CoV-2.

"Perlaksanaannya perlu memenuhi piawaian antarabangsa, dasar serta polisi Regulatori Kesihatan negara yang mantap, Amalan Pengilangan Baik (GMP), Amalan Klinikal yang Baik (GCP) dan Deklarasi Helsinki yang akan dipantau secara ketat oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara Malaysia (NPRA) serta Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC), KKM.

"Sebanyak sembilan hospital di seluruh negara, termasuklah Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), KKM.

"Kajian ini melibatkan 3,000 orang sukarelawan tempatan dalam tempoh 13 bulan," kata Kementerian Kesihatan lagi.

Tiada ulasan: