PETALING JAYA: Syarikat pelancongan dan ibadah umrah terus bergelut untuk meneruskan perniagaan ketika Putrajaya mengekalkan keputusan tidak membenarkan rakyat keluar negara kecuali atas urusan tertentu dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bdh (Andalusia) Md Daud Che Ngah berkata, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah banyak syarikat pelancongan gulung tikar, manakala syarikatnya pula terus mengalami penyusutan kewangan yang teruk.
Menurutnya, jika dahulu sewaktu negara dan dunia masih belum diserang wabak Covid-19, syarikatnya mempunyai 600 orang kakitangan di seluruh negara, namun ketika ini, hanya 20 kakitangan masih kekal untuk mengurus syarikat.
“Syarikat pelancongan memang bergantung sangat kepada rakyat keluar negeri atau melancong ke luar negara.
“Ertinya syarikat kita ini tidak bermaya dan langsung tidak berjalan sebab kita sebelum ini dapat rezeki daripada pelanggan yang ingin melancong.
“Walaupun pada suatu ketika dulu kita berada dalam keadaan PKPB, tetapi ia juga tidak memberi makna kerana setiap individu masih akan dikawal.
“Jadi, orang tidak akan menggunakan syarikat untuk saluran beriadah dan berehat,” katanya kepada FMT.
PKP 2.0 dijangka berakhir 4 Feb ini. Pada masa sama, Putrajaya masih mengekalkan polisi sedia ada, untuk tidak membenarkan rakyat keluar negara, kecuali atas urusan dan kebenaran tertentu.
Md Daud berkata, syarikat yang diusahakannya tetap beroperasi seperti biasa, walaupun kehadiran pelanggan tidak seperti dahulu.
Bahkan katanya, ia turut memberi pilihan buat pekerjanya untuk mencari rezeki yang lebih baik dalam tempoh ini.
“Duit simpanan syarikat juga perlu digunakan untuk biayai gaji pekerja, selenggara pejabat dan sebagainya.
“Ertinya, wang yang ada juga perlu dibelanjakan, bukan disimpan sahaja . Kalau tidak ada perancangan daripada dahulu untuk hal-hal berkaitan kecemasan, memang kita parah.
“Tetapi sekarang ini, kita sudah terima akibatnya, dalam tempoh setahun ini, pendapatan langsung tidak masuk dan duit rezab syarikat juga sebenarnya sudah habis. Sudah tidak ada duit,” katanya.
Daripada enam lot kedai yang dimiliki syarikat, ketika ini tidak sampai separuh lot bangunan digunakan untuk urusan harian.
Bahkan Md Daud berkata, beliau dan ahli lembaga pengarah kini terpaksa mencari alternatif perniagaan lain, untuk bertahan dalam saat getir yang menurutnya suatu “ujian” daripada Tuhan.
“Kita ada sedikit perniagaan lain yang tidak berapa rancak, seperti kita buka insurans, orang yang nak perbaharui cukai kenderaan dan satu lagi kita ada “money changer”, tetapi sekarang ini mana ada yang hendak tukar mata wang.
“Baru ini, kita cuba lakukan perniagaan lain, iaitu perniagaan kurma. Kita terus import dari Arab Saudi, tetapi masih belum mula beroperasi . Kita buat ini bukannya untuk untung, tetapi untuk bertahan sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan