Khamis, 7 Januari 2021

Warga emas dibunuh angkara sengketa tayar

KUALA LUMPUR: Angkara sengketa jual beli tayar bernilai RM1,100 menyebabkan seorang warga emas dibunuh, sebelum mayatnya disembunyikan dalam but sebuah kereta di Taman Wawasan dekat Puchong di sini.

Mayat mangsa lelaki berusia 70 tahun itu, ditemukan dalam but kereta berkenaan di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, mengesahkan penemuan mayat terbabit dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dipanggil untuk mengumpil but kereta tempat mayat mangsa dijumpai.

Beliau berkata, warga emas itu dilaporkan hilang sejak 31 Disember lalu dan susulan laporan kehilangannya, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di sebuah pasar raya dekat Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.

Mayat mangsa lelaki berusia 70 tahun, ditemukan dalam but kereta berkenaan di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan malam tadi. - Foto NSTP
Mayat mangsa lelaki berusia 70 tahun, ditemukan dalam but 
kereta berkenaan di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan 
malam tadi. - Foto NSTP

Beliau berkata, keluarga mangsa membuat dua laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu pada Jumaat dan Sabtu lalu di Balai Polis Ara Damansara.

"Keluarganya memaklumkan kepada polis bahawa kad kredit milik mangsa digunakan suspek dan berlaku transaksi kad kredit di sebuah pasar raya di Kuala Klawang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nik Ezanee berkata, lelaki yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan yang juga pemilik sebuah bengkel kereta.

"Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo berwarna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. – BERNAMA

Tiada ulasan: