Sabtu, 30 Januari 2021

Kolej Matrikulasi NS gagal tangani penularan di kampus - persatuan pelajar

 MALAYSIAKINI

Malaysiakini

New Student Movement Alliance of Malaysia (Nesa) mengkritik pentadbiran Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan peningkatan kes Covid-19 di kolej itu.

"Nesa mengecam sekeras-kerasnya tindakan KPM dan pihak pengurusan KMNS dalam menangani wabak yang mengakibatkan peningkatan kes di dalam kampus.

"Sebelum kemasukan pelajar, pihak pengurusan sepatutnya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan segala langkah pencegahan serta mematuhi SOP tetapi bukannya menguruskan pelajar yang dikuarantin secara suka hati dan mengabaikan nyawa mereka," kata Nesa dalam kenyataan semalam.

Ia mendakwa KMNS gagal menangani peningkatan kes dalam kampus dengan baik dan telah mendedahkan ramai pelajar kepada risiko.

Antara dakwaannya ialah pentadbiran kolej tidak membuat ujian swab kepada semua pelajar apabila mereka kembali ke kampus untuk menduduki peperiksaan.

Nesa juga mendakwa pelajar terus dihantar ke asrama sebaik tiba di kampus dan tiada ruang untuk penjarakan fizikal di sana.

Pihak kolej juga tidak menyediakan pelitup muka dan cecair sanitasi, kata Nesa.

"Menurut sumber (pelajar), akibat menjadi kontak rapat kepada pesakit, dia bersama rakan sebilik diarahkan pengurusan untuk dikuarantin di surau bersama 60 pelajar lain.

"Surau tersebut hanya mempunyai ruang sempit dan tiada penghalang di antara 60 orang tersebut.

"Pengurusan juga enggan memberitahu pelajar mengenai angka kes positif mahupun sebarang rancangan yang efektif. Mereka turut memberi arahan secara tersirat supaya pelajar 'tidak melakukan kekecohan' dan menyusahkan mereka," kata Nesa.

Ia juga mendakwa sepuluh pelajar yang disahkan positif dipindahkan ke satu unit dalam kampus untuk kuarantin, tetapi unit itu terlalu sempit untuk mereka.

"Beberapa pelajar terpaksa menginap di ruang tamu. Kemudahan di unit tersebut tidak lengkap dan tiada ruangan belajar yang disediakan.

"Selain itu, pihak pengurusan turut tidak menyediakan talian yang boleh dihubungi sewaktu kecemasan. Selepas bermalam di unit tersebut, mereka dihantar ke Maeps, Serdang untuk dirawat pada 27 Januari," menurut Nesa.

'Kakitangan buat yang terbaik'

Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang pelajar KMNS yang enggan dinamakan mengesahkan kebanyakan dakwaan Nesa.

Bagaimanapun, dia memberitahu yang surau di kampus hanya boleh memuatkan 40 orang.

Dia juga memberitahu para pelajar yakin kakitangan kolej sedang menanganinya sebaik mungkin.

Malaysiakini menghubungi pengurusan kolej hari ini tetapi diberitahu oleh seorang pegawai hal ehwal pelajar yang pertanyaan berkenaan penularan Covid-19 dan pengurusannya perlu dirujuk kepada bahagian matrikulasi KPM.

"Pengarah kampus kata perlu hubungi mereka bagi sebarang pertanyaan media berkenaan kes Covid-19," katanya.

Malaysiakini telah berusaha menghubungi bahagian matrikulasi KPM berkenaan perkara ini.

Sementara itu, Nesa turut berkata pelajar telah menandatangani petisyen untuk meminta KPM membatalkan arahan kembali ke kampus untuk menduduki peperiksaan dan beralih kepada peperiksaan dalam talian bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Bagaimanapun, katanya, KPM menolak cadangan itu menyebabkan pelajar, termasuk yang tinggal di zon merah, perlu kembali ke kampus.

Tiada ulasan: