KUALA LUMPUR: Pengumuman pakej rangsangan termasuk peruntukan Belanjawan 2021 berjumlah lebih setengah trilion ringgit sejak tahun lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan dengan COVID-19.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pakej rangsangan bermula daripada Prihatin hingga Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM642.5 bilion jelas menunjukkan kerajaan proaktif dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi.
Beliau berkata, usaha kerajaan menerusi bantuan kewangan dalam bentuk pakej rangsangan itu dianggap mendahului negara membangun lain.
Antara contoh, katanya, pemberian moratorium selama enam bulan dan membenarkan wang daripada akaun persaraan dikeluarkan bagi golongan yang teruk terjejas serta pelbagai jenis pakej yang diumumkan.
"Saya melihat kerajaan memang menunjukkan kesungguhan dalam membela nasib rakyat dan perniagaan ketika cabaran pandemik ini berlaku. Sebanyak lima pakej rangsangan dilancarkan tahun lalu bernilai RM305 bilion tidak, termasuk peruntukan terbesar dalam sejarah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion.
Selain itu, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, tidak sampai dua minggu selepas itu pakej PRIHATIN dilancarkan. Kali ini apabila PKP 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari, pakej PERMAI dilancarkan tidak sampai seminggu sekatan perjalanan bermula.
"Ini bermakna kerajaan tidak menunggu kesan negatif ekonomi menjadi ketara apabila PKP diperkenalkan tetapi terus bersikap proaktif mengumumkan pakej bantuan kepada golongan yang dijangka terjejas teruk," katanya.
Ahmed Razman berkata, pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan tahun lalu sememangnya membantu rakyat dan perniagaan dalam mendepani krisis COVID-19.
"Sebagai contoh, daripada RM305 bilion yang diperuntukkan di bawah pakej rangsangan tahun lalu, RM45 bilion berupa suntikan fiskal secara langsung yang memang terbukti mampu membantu rakyat dan peniaga dalam aspek kelangsungan ekonomi.
"Malahan, pakej terkini iaitu PERMAI yang dilancarkan baru-baru ini juga menyenaraikan pelbagai inisiatif bersifat suntikan fiskal secara langsung iaitu mempercepatkan bayaran BPN 2.0 Fasa 2, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Program Subsidi Upah (PSU), PSU 2.0 dan PSU 3.0.
"Laporan LAKSANA membuktikan semua bantuan bersifat pemberian tunai ini sampai kepada majoriti penerima yang layak, sekali gus memberi jaminan kepada rakyat bahawa apa yang dijanjikan oleh kerajaan dipenuhi dengan segera," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bukti jelas komitmen tinggi kerajaan memastikan rakyat dan perniagaan mendapat perhatian sewajarnya berdepan cabaran COVID-19.
Katanya, dengan krisis kesihatan awam menjadi risiko terbesar untuk diatasi semua termasuk pelaksanaan PKP, peranan merangsang ekonomi atau campur tangan kerajaan diperlukan untuk meminimumkan kesan negatif.
"Komitmen kerajaan sememangnya tinggi. Saya percaya akan ada lagi pakej rangsangan diumumkan. Ini bermakna kerajaan sentiasa mengambil kira keadaan semasa dan bertindak mengikut kesesuaian," katanya.
Mohd Afzanizam berkata, dari segi keutamaan pakej rangsangan, ia jelas menunjukkan kerajaan meletakkan keutamaan kena pada tempatnya iaitu mengekang penularan wabak, memelihara kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan.
Katanya, dengan keutamaan yang betul dan tepat, ia seharusnya dapat memberi bimbingan atau pedoman bagi jentera kerajaan untuk digerakkan ke arah yang betul.
Beliau berkata, peranan rangsangan kerajaan diperlukan bagi meminimumkan kesan negatif kepada ekonomi akibat pelaksanaan PKP kali pertama dan kedua.
"Hakikatnya situasi COVID-19 menjadi krisis kesihatan yang mana risiko kehilangan nyawa adalah terbesar, selain angka kematian semakin meningkat. Justeru, langkah pengenalan semula PKP yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak," katanya. Dan sudah tentu, 'trade off' adalah aktiviti ekonomi yang terkesan.
"Kerajaan dilihat amat prihatin dalam pelbagai aspek khususnya untuk perniagaan. Sebagai contoh, peruntukan program subsidi upah sentiasa ditambah memandangkan bantuan ini menerima sambutan yang baik serta memberi kesan yang positif dari segi untuk mengekalkan para pekerja yang sedia ada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan