Sabtu, 30 Januari 2021

Polis tahan dua wanita bantu siasatan kegiatan Ah Long

Polis menahan dua wanita tempatan dalam serbuan berasingan di Bukit Indah dan Gelang Patah, di Johor Bahru, semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata kedua-dua wanita berumur 19 dan 28 tahun itu ditahan menerusi Ops Vulture yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor di sekitar Bukit Indah, Gelang Patah serta Ulu Tiram, di Johor Bahru, mulai 8.30 pagi semalam.

“Selain menahan wanita berumur 28 tahun dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Indah tersebut, polis merampas tiga set komputer, 236 telefon bimbit pelbagai jenama, modem serta mesin perakam waktu kehadiran kerja.

“Dengan rampasan itu, polis percaya lokasi berkenaan (Bukit Indah) dijadikan sebagai pusat panggilan bagi kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata kedua-dua wanita berkenaan yang dipercayai bekerja dengan sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen, kini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan itu.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang ingin membuat pinjaman agar hanya berurusan dengan institusi kewangan berdaftar atau berlesen sahaja sekali gus mengelakkan daripada membuat pinjaman dengan pemberi pinjam wang tanpa lesen.

“Polis Johor turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemberi wang tanpa lesen untuk menyalurkannya kepada Pegawai Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor ASP Timmy Aheng di talian 019-7773728 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di talian 07-2254422,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: