Jumaat, 29 Januari 2021

Beberapa kawasan PKPD ditamatkan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor, ditamatkan hari ini selepas 2,258 ujian saringan Covid-19 dilaksanakan di kawasan itu. 

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 1,837 kes positif direkodkan.

“Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua kes positif yang dimasukkan ke wad dan isolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sembuh sepenuhnya dan  tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan, PKPD di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan  Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA),  Taiping, Perak turut ditamatkan selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua tahanan yang ditempatkan di PKRC KEMTA telah sembuh serta dibenarkan keluar dari PKRC.

Katanya, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan tiada lagi kes positif baharu dilaporkan di lokaliti itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, seramai  7,217 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada  jumlah itu, 116 orang disahkan positif Covid-19.

 Secara kumulatifnya, kata beliau, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 242,500 pekerja  warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan  10,051 majikan.

Daripada jumlah ini seramai 4,602 orang disahkan positif Covid-19, manakala 237,898 lagi adalah negatif.  

“Sehingga kini juga, sebanyak 887 klinik telah terlibat dengan  program saringan ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, langkah itu selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga  asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau  Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian  saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan  masing-masing. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: