Jumaat, 29 Januari 2021

Ismail Sabri tanggung bayaran sewa rumah Siti Azizon

Mohammad Arif Nizam
MGF27012021_LAWATAN-AZIZON11
Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi (kiri) beramah mesra dengan Koperal Siti Azizon Mohamad serta ibu dan anak-anaknya sewaktu melawat mereka di Apartment Tasik Heights, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju memberi sumbangan peribadi untuk membayar rumah sewa sebanyak RM1,000 sebulan kepada Koperal Siti Azizon Mohamad selepas tersentuh dengan kesempitan hidup anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi berkata, bayaran sewa itu akan dibayar sehingga rumah ibu tunggal itu yang terletak di Machang di Kelantan siap dengan kos pembaikan berjumlah RM15,000 ditanggung oleh Kementerian Pertahanan.

Jelas beliau, Ismail Sabri juga akan memberi bantuan keperluan makanan kepada ibu tunggal yang menyara 11 ahli keluarganya mengikut keperluan dari masa ke semasa.

“Tentera Darat Malaysia (TDM) kini dalam proses membaiki pulih kediaman Siti Azizon di Machang iaitu rumah sendiri yang dibeli sebagai kakitangan kerajaan. Rumah yang sudah lama tidak diduduki dan kosong, usang serta ada bahagian yang pecah itu dijangka siap pada penghujung Mac ini.

“Jadi YB Menteri akan menanggung sewa rumah Siti Azizon sehingga beliau berpindah ke Kelantan,” katanya pada sidang media hari ini 

MGF27012021_LAWATAN-AZIZON03Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi bercakap kepada media selepas melakukan lawatan kebajikan ke atas anggota tentera darat, Koperal Siti Azizon Mohamad yang merupakan ibu tunggal di Apartment Tasik Heights, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL

Sebelum ini, kisah keperitan hidup Siti Azizon yang memiliki empat anak termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kini terpaksa menjadi ketua keluarga selepas bercerai dengan suami sejak enam tahun lalu mendapat perhatian dan tular selepas disiarkan MalaysiaGazette pada 14 Januari lalu.

Anggota tentera itu turut membesar dan menyara lima anak saudaranya sejak kematian arwah adiknya sejak Disember 2019.

Siti Azizon dan dan 11 ahli keluarganya menyewa di rumah tiga bilik dengan bayaran RM1,000 sebulan bersama ibu dan adik bongsunya yang tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan hanya bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Tiada ulasan: