kOTA BHARU: Kisah Fatimah Salleh dari Kampung Talang, Kadok, di sini yang setia memimpin tangan suami yang buta dan menemaninya keluar mencari rezeki sebagai tukang urut sejak 20 tahun lalu mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau segera mengarahkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan menziarahi pasangan tersebut hari ini sambil menghulurkan bantuan segera berupa keperluan asas dan wang tunai RM1,000 .
Sumbangan itu disampaikan Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang kepada Fatimah, 58, dan suami, Wan Mohamed Jaafar, 78.
“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pasangan tersebut yang selama ini gigih mencari rezeki dengan mengambil upah sebagai tukang urut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mahadi memberitahu, Yadim Kelantan akan membantu membina bahagian dapur pasangan warga emas itu yang hampir runtuh secepat yang mungkin.
Sementara itu, Wan Mohammed berasa terharu dan bersyukur dengan keprihatinan Zulkifli terhadap nasib dia dan isteri.
“Kami berterima kasih kepada Datuk Seri Zulkifli dan menyampaikan salam kerana sudi ambil kehidupan kami,” katanya.
Mereka bersama-sama mencari punca rezeki sebagai tukang urut dengan pendapatan antara RM5 sehingga RM30 setiap kali mengurut pelanggan.
Pasangan warga emas itu semalam dilaporkan media terpaksa berjalan kaki hingga sejauh 20 kilometer (km) pada setiap hari bagi mencari pelanggan atau berkunjung dari rumah ke rumah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Mohamed Jaafar 03010-41-00034954-2 atau hubunginya di talian 019-8232613. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan