Rabu, 27 Januari 2021

Rakyat Kelantan resah, runsing jalani PKP tanpa bekalan air bersih .

Oleh ZAAIN ZIN dan BAHRUDDIN HATTA
ARSYAFIERA Arshad menunjukkan bekalan air paip AKSB berwarna kekuningan dan berbau di rumahnya di Taman Hidayat, Machang, Kelantan, hari ini. - FOTO/BAHRUDDIN HATTA

KOTA BHARU: Gangguan bekalan air membabitkan lebih 32,000 akaun pengguna di Machang dan Pasir Puteh serta sebahagian jajahan ini sejak Jumaat lalu, meresahkan orang ramai kerana berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih meresahkan apabila mereka dimaklumkan, punca gangguan iaitu paip utama yang pecah di kawasan Pulai Chondong, Machang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk dibaik pulih sepenuhnya.

Tempoh sebegitu lama diambil bagi membaiki kerosakan mengundang rungutan pengguna yang terjejas termasuk Ketua Pemuda UMNO Machang, Mohd. Fakaruddin Ismail yang mendesak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Mohd. Fakaruddin juga menyeru rakyat Kelantan untuk sama-sama bangkit dan mendesak kerajaan negeri supaya tidak lagi flip flop dalam membuat keputusan dan segera menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kita faham dan reda dengan apa yang berlaku, namun rasa reda yang ‘ditarbiah’ selama ini janganlah dijadikan alasan untuk pihak berwajib tidak berusaha dan mengambil mudah perkara asas yang menjadi keperluan rakyat.

“Kita juga wajar bertanya kepada pihak kerajaan negeri dan pihak AKSB, sampai bila penduduk Machang khususnya dan rakyat Kelantan keseluruhannya terpaksa melalui episod gangguan air yang seakan tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, AKSB menerusi satu hebahan rasmi memaklumkan sebanyak 32,018 akaun air terawat AKSB di tiga jajahan mengalami gangguan air berikutan paip yang membawa air mentah dari Sungai Bagan ke Loji Rawatan Air Merbau Chondong, Machang didapati pecah.

Ketika melawat lokasi paip yang pecah kelmarin, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi AKSB memaklumkan kerja-kerja membaiki paip yang rosak dijangka mengambil masa sebulan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan perumahan di Machang mendapati AKSB telah menyediakan tangki-tangki statik dengan kapasiti bekalan air bersih antara 200 hingga 2,000 gelen di lokasi-lokasi strategik untuk kegunaan orang ramai.

Seorang guru, Nur Izzati Saidi, 32, yang mengandung tiga bulan dan kerap mengalami alahan   berkata, bekalan air di rumahnya di Pangkal Meleret yang terputus sejak lima hari lalu menyebabkan suaminya terpaksa ‘meminta’ air bersih di rumah rakan-rakan.

“Kami juga bergantung bekalan air bersih dari rumah jiran yang mempunyai sumber air dari telaga tiub atau boring,” katanya.

Peniaga makanan, Ahmad Zahirul Affendi, 35, pula memberitahu, keperitan ketiadaan bekalan air dirasakan berganda kerana terjadi ketika dalam keadaan PKP masih dilaksanakan dan penularan Covid-19 yang masih serius di Kelantan.

Sementara itu, suri rumah, Arsyafiera Arshad, 38, yang tinggal di Lorong Hidayat pula memberitahu, bekalan air di rumahnya diterima dalam bentuk air kotor berkelodak dengan warna seakan-akan ‘nescafe tarik’ serta berbau.

“Susahnya mahu menjalani kehidupan harian apabila terputus bekalan air bersih dengan keadaan PKP sekarang yang menghadkan pergerakan kita,” keluh wanita itu. UTUSAN

Tiada ulasan: