Rabu, 27 Januari 2021

Solat fardu, Jumaat di masjid, surau di Pulau Pinang dibenarkan dengan jumlah tertentu

Oleh Zuhainy Zulkiffli
 Foto hiasan
Foto hiasan

GEORGETOWN: Kerajaan negeri membenarkan solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini dengan maksimum 15 jemaah.

Bagi solat Jumaat, kebenaran diberikan kepada 12 hingga 45 jemaah berusia 15 hingga 70 tahun, termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang di Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata kebenaran bermula esok itu berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pelaksanaan bagi solat jenazah bukan COVID-19 di masjid dan surau pula juga dihadkan kepada 20 orang, namun ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan.

"Ruang solat musafir juga disediakan di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya.

"Aktiviti sosial, tazkirah, kuliah atau pengimarahan secara bersemuka masih belum dibenarkan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dan terhad kepada 10 individu.

Kebenaran bagi aktiviti bacaan Yassin dan tahlil juga dihadkan kepada 15 orang terdiri daripada pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah selepas solat fardu.

"Garis panduan ini tertakluk pada perubahan arahan kerajaan mengikut perkembangan semasa atau sehingga suatu tempoh yang diisytiharkan selamat," katanya.

Tiada ulasan: