Khamis, 28 Januari 2021

20 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian

Bernama
20 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian
Abd Khalid bersama anggotanya membuat serbuan Ops Dadu dan 
menahan seramai 16 individu di sekitar Taman Perindustrian Puchong 
Utama. --fotoBERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Dua puluh individu termasuk sembilan warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di enam premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kesemua suspek berusia 48 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 11 warga tempatan serta sembilan warga Myanmar dan Bangladesh.
 
Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan jam 5.30 petang semalam, pihaknya turut merampas 
wang tunai berjumlah RM5,060, 11 telefon, 50 keping kertas bercetak, sekeping kertas bertulis, 10 pencetak mudah alih dan dua batang pencil.
 
“Hasil siasatan awal mendapati premis kedai tersebut telah beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.
 
"Premis tersebut telah menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen. Seorang daripada suspek iaitu seorang wanita pernah ditahan sebanyak tiga kali termasuk hari ini kerana kes yang sama," katanya di lokasi serbuan di Taman Perindustrian Puchong Utama.
 
Abd Khalid berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.
 
“Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)," katanya.--BERNAMA

Tiada ulasan: