Jumaat, 29 Januari 2021

Pengecualian pembaharuan lesen memandu bermula 1 Feb hingga 31 Mac

Malaysiakini

Kerajaan memberikan pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian berhubung pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) berkuat kuasa 1 Feb hingga 31 Mac.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pemandu bagaimanapun perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu hingga 30 April 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengecualian memperbaharui LKM dan CDL pernah dilaksanakan dari 25 Mac hingga 30 Sept tahun lepas semasa tempoh PKP 1.0.

Wee juga mengingatkan orang ramai agar menjadi pemandu berhemah dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh PKP.- Bernama

Tiada ulasan: