Ahad, 31 Januari 2021

Penyelia tapak maut kereta dihempap kren

BH ONLINE
- Foto ihsan Bomba
- Foto ihsan Bomba

KUANTAN: Seorang penyelia tapak maut selepas keretanya dihempap kren yang dipercayai mengalami masalah brek di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Belimbing, Maran, kira-kira 60 kilometer dari sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, Mohd Thaariq Asyraf Misbah, 29, dari Masai, Johor maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta Toyota Corolla yang dipandunya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kren itu mengelongsor ke belakang akibat brek tidak berfungsi ketika pemandunya berusia 48 tahun cuba mengundurkan jentera berat itu di kawasan yang agak bercerun.

"Kren itu kemudian merempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terseret ke dalam longkang diikuti kren yang kemudian menghempap kereta terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Kamarulzaman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga bekerja di situ dikatakan sedang meletak kenderaan berkenaan yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pembinaan.

Pemandu kren berasal dari Gelang Patah, Johor dilaporkan tidak cedera.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Tiada ulasan: