Sabtu, 30 Januari 2021

Ibu Yati nak saman Yadim, tuntut Nasrudin mohon maaf

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Individu yang dikenali sebagai Ibu Yati memberi tempoh tujuh hari kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ini selepas Nasrudin mendakwa wanita berkenaan atau nama penuhnya Wan Noor Hayati Wan Alias, 41 membawa ajaran sesat dan membawa agama baru.

"Saya menafikan semua tohmahan dan fitnah YDP Yadim, Nasrudin Hassan bahawa saya ada mengeluarkan sebarang kenyataan membawa agama baru, agama Melayu dan ajaran Ibu Yati yang jelas tuduhan berniat jahat dan fitnah yang mahu menjatuhkan reputasi saya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat yang dianugerahkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.

"Saya juga sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang saman sivil terhadap Yadim.

"Yadim diminta memberi penjelasan dari mana mereka memiliki kuasa mengisytiharkan mana-mana individu sebagai sesat sekali gus mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Noor Hayati yang juga seorang wartawan berkata dia telah membuat laporan polis terhadap Nasrudin di Balai Polis Ampang hari ini.

"Antara fitnah beliau terhadap saya termasuklah kononnya saya melahirkan agama baru iaitu agama Melayu, saya melakukan syahadah pelik Ila Ha Ila Ra Ila Ma dan disambungkan dengan pengakuan 'aku Melayu' sebanyak 7 kali," katanya.

Selain itu katanya, Nasrudin juga mendakwa dia menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai 'Islam Arab' dan membawa Islam Melayu.

"Dia menggambarkan niat jahatnya terhadap saya dengan merancangkan tindakan penguatkuasaan terhadap saya. Sedangkan saya tidak dimaklumkan kesalahan atau ditangkap atau didakwa atas apa-apa kesalahan berkaitan agama Islam.

"Beliau juga jelas menghasut seluruh rakyat Malaysia membenci saya dengan memfitnah saya membawa ajaran Islam Melayu yang dikatakan ajaran yang sesat lagi menyesatkan," katanya yang turut menafikan mengenali Nasrudin.

Terdahulu, Nasrudin dilapor meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran sesat 'agama Melayu' yang didakwanya dibawa oleh individu dikenali sebagai 'Ibu Yati'.

Nasrudin berkata, pihak berkuasa agama Islam sedang menyiasat perkara itu dan bakal mengambil tindakan sewajarnya.

Tiada ulasan: