Khamis, 28 Januari 2021

Usah pertikai had jemaah di masjid: Sultan Selangor

ainulillia

Ketetapan dibuat kerana kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keputusan mengehadkan bilangan jemaah di masjid di negeri ini, adalah demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam.

Setiausaha Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di Selangor yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid kerana mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Baginda turut membaca sendiri rayuan disalurkan menerusi Mufti Selangor dan juga permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, statistik terbaharu di Selangor membabitkan kes jangkitan wabak COVID-19 masih meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

Bahkan, jumlah kes positif di Selangor mencecah lima digit, manakala tiga digit bagi angka kematian, katanya.

“Baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat di negeri ini mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang diambil sebulat suara pihak berwajib ini, demi keselamatan umat Islam di Selangor.

“Tegas baginda lagi, tidak bererti jika masjid dan surau ditutup, maka amal ibadah juga akan terhenti,” katanya.

Tiada ulasan: