Oleh Roselan Ab Malek
Seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kemayan, Bera, tengah hari tadi. - NSTP/Foto Ihsan PDRM
BERA: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan, ditemui dalam sebuah ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir di Kemayan, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari, bayi itu dilaporkan dijumpai dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di tepi jalan dalam ladang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin, berkata seorang penduduk bersama rakannya mendakwa menemui bayi terbabit yang dibalut kain batik berwarna gelap, ketika mahu memasang jaring ikan di lokasi yang dinaiki air itu.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kemayan kemudian melakukan pemeriksaan awal dan mengesahkan bayi itu dipercayai dilahirkan antara jam 5 hingga 7 pagi tadi.
"Bayi perempuan seberat 2.12 kilogram itu masih bertali pusat, namun tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada badannya kecuali gigitan semut.
"Bayi itu juga didapati cukup sifat, manakala badannya dipercayai telah dicuci dengan air yang kotor.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu berkemungkinan mengalami masalah Sindrom Down," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mansor berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk pemeriksaan pakar, dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bera telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan