Rabu, 27 Januari 2021

Melaka benar solat Jumaat, fardu di masjid mulai esok

Athirah Huda Zalhe

Kuliah Maghrib, bacaan Yaasin boleh dilaksana ikut tempoh masa sesuai

BANGI – Pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu adalah dibenarkan di semua masjid serta surau di negeri Melaka, mengikut jumlah yang ditetapkan mulai esok. 

Kebenaran itu turut diberikan kepada aktiviti lain di masjid termasuklah kuliah Maghrib, bacaan Yaasin dan pengurusan serta solat jenazah, menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

Beliau berkata, bagi masjid kerajaan, jumlah kehadiran jemaah yang dibenarkan adalah mengikut kapasiti masjid berdasarkan penjarakan fizikal satu meter dengan maksimum 500 orang.

Sementara untuk masjid kariah serta institusi, jumlah maksimum dibenarkan adalah 250 orang, manakala surau 75 orang, katanya. 

“Jumlah jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau yang jemaah biasa bersolat padanya dengan penjarakan fizikal satu meter. 

“Solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sulaiman berkata, aktiviti kuliah Maghrib dan bacaan Yaasin serta tahlil pada Khamis malam Jumaat hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai. 

“Penceramah dari luar negeri Melaka adalah tidak dibenarkan. 

“Aktiviti kuliah dan program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan,” katanya. 

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. 

“Bagi yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat hendaklah solat Zohor di rumah masing-masing. 

“Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-7 pada 24 Jun 2020 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 22 Jun 2020 telah bersetuju dengan keputusan berikut: 

“Kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari yang berkenaan dan mereka diwajibkan menunaikan solat fardu Zohor di kediaman masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: