Khamis, 28 Januari 2021

Semua masjid, surau Negeri Sembilan baca Yasin hari ini

Mohd Amin Jalil

Gambar fail, Imam Masjid Negeri Sembilan, Muttaqin Mohd Fakir membacakan doa selepas solat Jumaat pada 15 Mei 2020. FOTO Arkib NSTP.

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengarahkan semua ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri itu menganjurkan solat taubat, hajat dan bacaan Yasin selepas solat Maghrib, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di Negeri Sembilan dan seluruh negara.

"Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan sehubungan dengan itu, kita mengarahkan solat dan bacaan Yasin diadakan secara serentak di semua masjid dan surau seluruh Negeri Sembilan, malam ini selepas Maghrib," katanya di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pengurusan masjid dan surau juga disaran melazimi amalan itu setiap kali selepas menunaikan solat fardu dengan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 112 kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan 1,650 kes aktif.

Tiada ulasan: