Bernama
Kesemua
105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu
oleh jurubahasa
mahkamah pada prosiding hari ini yang berlangsung
hampir lima jam
bermula dari 2.45 petang hingga 7.30 malam.
KLANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.
Hakim
Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 33 tahun
itu selepas dia mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya
sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.
Mahkamah
memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua
sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan
secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap, 20 Jan lepas.
Kunasundary
dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah
sangat serius dan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan,
mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi
setiap pertuduhan.
Kesemua
105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu oleh jurubahasa
mahkamah pada prosiding hari ini yang berlangsung hampir lima jam
bermula dari 2.45 petang hingga 7.30 malam.
Hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah keji dan amat berat serta telah memalapkan hidup seorang kanak-kanak.
"Saya
harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu
yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minimum,
namun mahkamah merasakan memadai dengan mengambil kira jumlah pertuduhan
yang dikenakan terhadap kamu," katanya.
Mengikut
105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak
tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5
Jan 2018 hingga 24 Feb 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun
serta sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa
Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon hukuman pemenjaraan berat dan
sebatan maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan mempertimbangkan
faktor kepentingan awam.
"Mangsa di dalam
kes ini berumur 12 tahun semasa mula-mula dirogol oleh tertuduh dan
telah dirogol selama dua tahun sebanyak 105 kali.
Tertuduh
yang merupakan bapa tiri kepada mangsa sepatutnya bertanggungjawab
untuk membela mangsa namun merosakkan harga dirinya. Akibat daripada
perbuatan tertuduh akan menyebabkan trauma seumur hidup kepada mangsa
sepanjang hayatnya," katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan
Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber.
Nurul
Qistini berkata kes merogol anak dalam jagaan merupakan kesalahan yang
amat keji dan terkutuk serta dipandang serius oleh segenap masyarakat
tidak kira agama apa sekalipun.
Perbuatan
tertuduh diibaratkan sebagai “haruan makan anak” yang menjadi perhatian
serius masyarakat umum yang bertentangan bukan sahaja dari segi
undang-undang malahan ditegah oleh agama, katanya yang turut memohon
hukuman berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi mengurangkan hukuman.
Berdasarkan
fakta kes, ibu mangsa telah bercerai dengan bapa kandungnya pada 2015
dan wanita itu berkahwin dengan tertuduh pada November 2016.
Semasa
kejadian, hanya mangsa dan tertuduh berada di dalam rumah dan mangsa
tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana telah
diugut dan dipukul oleh tertuduh.
Kanak-kanak itu hanya menceritakan kejadian tersebut apabila ibunya membawa dia dan adik perempuan ke rumah ibu saudara mereka.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan