Jumaat, 29 Januari 2021

Ratusan etnik Rohingya hilang dari kem di Indonesia, dipercayai diseludup ke Malaysia

Astro Awani
Ratusan etnik Rohingya hilang dari kem di Indonesia, dipercayai diseludup ke Malaysia
Ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai 
diseludup masuk ke Malaysia, kata pihak berkuasa negara itu. -Gambar hiasan
 
JAKARTA: Beratus-ratus pelarian Rohingya dilaporkan hilang dari kem pelarian di Indonesia.
Pihak berkuasa negara itu mengesyaki mereka diseludup masuk ke Malaysia, negara jirannya yang paling dekat.
 
Hanya seramai 112 pelarian masih kekal mendiami kem sementara di Lhokswumawe di pantai utara Indonesia, berbanding 400 yang tiba di antara Jun dan September tahun lalu.
 
Pihak berkuasa tempatan tidak dapat menjelaskan di mana lokasi pelarian Rohingya berkenaan ketika ini.
 
Dipercayai mereka sudah menyeberangi Selat Melaka untuk ke Malaysia.
 
Ketua pasukan petugas di kem Lhokswumawe sendiri tidak pasti ke mana haluan pelarian Rohingya itu, namun mengakui bahawa mereka akan melarikan diri jika tahu cara untuk meninggalkan kem.
 
Tindakan keras tentera Myanmar termasuk membunuh, merogol dan membakar kediaman pada tahun 2017 disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Kejadian itu memaksa lebih 750,000 pelarian Rohingya berduyun-duyun melintasi sempadan untuk melarikan diri dan berlindung di negara jiran sama ada di Bangladesh, Malaysia dan Indonesia.
 
Di Bangladesh, mereka tinggal secara daif di kem penuh sesak di Cox's Bazar.

Beribu-ribu pelarian Rohingya membayar penyeludup untuk mengeluarkan mereka dari Bangladesh dan memulakan perjalanan berbahaya merentasi lautan selama berbulan-bulan bagi membolehkan mereka sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Tiada ulasan: