Khamis, 28 Januari 2021

Tambahan bot pemintas, peronda bantu mantapkan tugas APMM di perairan Perak

Bernama
Tambahan bot pemintas, peronda bantu mantapkan tugas APMM di perairan Perak
Penambahan aset amat diperlukan di perairan Perak terutama 
dalam memperkukuhkan penguatkuasaan dan menjadikan rutin 
rondaan secara menyeluruh lebih efektif. - Gambar hiasan
 
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak yakin penambahan dua bot mampu memantapkan lagi operasi pasukan itu dalam menjaga keselamatan perairan negara.
 
Pengarah APMM negeri Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata bot pemintas Benteng 1206 diterima pihaknya bulan lepas manakala bot peronda Perkasa 1223 pada awal tahun ini.
 
Beliau berkata penambahan aset dua bot itu amat diperlukan di perairan Perak terutama dalam memperkukuhkan penguatkuasaan dan menjadikan rutin rondaan secara menyeluruh lebih efektif selain mematahkan kegiatan melanggar undang-undang di laut dengan lebih pantas.
 
"Bot Benteng 1206 boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 60 knot. Bot ini digunakan untuk pintasan jika ada aduan mengenai sebarang kejadian di kawasan sempadan.
 
"Apabila kita dapat aduan di kawasan sempadan, kita akan mampu sampai ke lokasi dalam masa 60 minit," katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang awak-awak Myanmar di perairan Lumut di sini pada Rabu.
 
BACA: Nelayan dikhuatiri hilang di Pulau Talang
 
Shahrizan juga berkata bot Perkasa 1223 dilengkapi kabin yang mampu kekal di laut selama 24 jam dan akan memantapkan setiap operasi di laut dengan berkesan.
 
"Perkasa 1223 adalah bot laju yang sesuai untuk kawasan pesisiran. Kesemua bot ini memang diperlukan kerana mengikut rekod di Perak, kejadian bot nelayan Indonesia menceroboh dan gangguan pihak penguat kuasa asing banyak berlaku," katanya.
 
Beliau berkata sehingga kini, APMM Perak termasuk Zon Maritim Kuala Kurau mempunyai 13 bot peronda dan pemintas bagi operasi penguatkuasaan.

Mengulas operasi SAR itu, Shahrizan berkata pasukan mencari belum menemui sebarang petunjuk kepada Nai Mon Chan, 26, yang dikhuatiri lemas selepas bot nelayan tempatan dinaiki mangsa bersama dua lagi rakannya berlanggar dengan kapal TB Glory 3 di perairan tersebut awal pagi semalam.
 
Katanya kawasan operasi telah diperluas sehingga 104.48 batu nautika persegi.-- BERNAMA

Tiada ulasan: