Khamis, 28 Januari 2021

Tekong Indonesia dalang bawa masuk Pati

Noor Hidayah Tanzizi

SHAHRIZAN (kiri) bersama anggotanya memeriksa pusat kawalan kapal dagang pada Operasi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan aktiviti penyeludupan migran di Perairan Perak. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan aktiviti penyeludupan migran didalangi tekong bot Indonesia yang bersekongkol dengan nelayan tempatan.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tekong itu bekerjasama dengan tekong darat untuk menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati), manakala pemindahan dilakukan di tengah laut.

Katanya, risikan pihaknya juga mendapati nelayan tempatan yang menangkap ikan dekat perairan Pulau Jarak dan kawasan bersempadan perairan Indonesia menjadi 'mata-mata' kepada tekong berkenaan.

"Risikan mendapati kemasukan Pati dianggarkan antara lima hingga tujuh individu pada sesuatu masa. Namun dengan pelaksanaan National Task Force (NTF) dan Op Benteng Laut, aktiviti ini dilihat berkurangan.

"Ia juga susulan kawalan di sempadan perairan negeri serta kehadiran aset rondaan pelbagai agensi," katanya pada majlis pengenalan dua aset baru APMM Perak dan rutin rondaan di sekitar perairan Perak di sini, semalam.

Mengenai aset terbaharu, Shahrizan berkata, Bot Benteng 6 dan Bot Perkasa 1223 diterima berperingkat sejak Disember lalu, menjadikan keseluruhan aset APMM Perak sebanyak 13 buah termasuk enam bot di Zon Maritim Kuala Kurau.

Katanya, tambahan bot itu meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan pasukan dalam mengawal perairan negara dan mengekang jenayah rentas sempadan.

Terdahulu, pasukan peronda APMM turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan Myanmar yang hilang, selepas bot dinaiki karam, dipercayai berlanggar dengan kapal tongkang pasir di 10.3 batu nautika Pulau Talang di sini, kelmarin.

Kawasan carian diperluaskan hingga 104.48 batu nautika persegi, namun mangsa, Nai Mon Chan, 26, masih belum ditemui.

Tiada ulasan: