PETALING JAYA: Kumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar meluahkan kekecewaan mereka terhadap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang masih mempertimbangkan rancangan untuk memansuhkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kenyataan terbaharu Amirudin yang mahu pembangunan di kawasan terbabit diteruskan jelas menunjukkan beliau tidak mengendahkan lebih 40,000 bantahan yang dibuat pelbagai pihak.
Ia juga jelas menunjukkan menteri besar dan kerajaan negeri, termasuk wakil rakyat di kawasan terbabit, tidak lagi mementingkan rakyat dalam isu pemansuhan HSKLU, katanya.
“Peka berpendapat bukan sahaja menteri besar Selangor, tetapi Ahli Parlimen Kuala Langat dan ramai lagi Exco kerajaan negeri bersikap angkuh dengan kuasa dan seolah-olah menjadi ‘budak suruhan’ syarikat pembangunan hartanah,” katanya kepada FMT.
Shariffa Sabrina Syed Akil.
Beliau juga kecewa dengan sikap wakil rakyat, khususnya Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar yang tidak lagi lantang mempertahankan kawasan hutan simpan itu, termasuk melindungi masyarakat Orang Asli di situ.
Katanya, kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga membelakangkan aspirasi dan hasrat rakyat selepas diberi kuasa.
Beliau berkata, menteri besar sepatutnya menggugurkan cadangan pembangunan di kawasan hutan simpan itu selaras dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor 11 Nov lalu yang meluluskan usul menggesa kerajaan negeri mempertahankan status pewartaan hutan simpan dan memeliharanya dengan baik.
Sementara itu, seorang Tok Batin, Raman Pahat dari kawasan itu, meluahkan kekecewaannya atas keputusan kerajaan negeri yang mahu meneruskan pembangunan HSKLU.
Katanya, bagi masyarakat Orang Asli, hutan adalah kehidupan, sumber ekonomi dan makanan, tempat tinggal, dan masa depan anak cucu mereka.
“Ia akan menjejaskan lebih 500 Orang Asli,” katanya, yang tidak menolak kemungkinan mengheret kes itu ke mahkamah.
Katanya lagi, majoriti Orang Asli di situ juga akan menolak PH dalam pilihan raya akan datang jika nasib mereka tidak dibela.
“Sekalipun kawasan itu hendak dibangunkan, kami minta kerajaan negeri jangan abaikan nasib ekonomi masyarakat kami.
“(Contohnya) dalam Belanjawan negeri, sebut sahaja nak beri bantuan kepada Orang Asli, tetapi sampai sekarang tidak nampak.
“Sekadar umum sahaja kata (bantuan) berpuluh-puluh ribu, tetapi sampainya tidak,” katanya ketika dihubungi.
Feb tahun lalu, FMT melaporkan kira-kira 300 penduduk Orang Asli mengadakan himpunan membantah cadangan memansuhkan status HSKLU di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang menempatkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Isu hutan simpan ini turut mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar
dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta kerajaan Selangor
mengekalkannya bagi memastikan kelestarian alam di negeri itu terus
terpelihara, di samping berperanan sebagai kawasan tadahan air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan