Sabtu, 30 Januari 2021

Bantuan banjir RM200 juta diselaras Selasa ini

MARAN: Kementerian Kewangan akan menyalurkan bantuan banjir bernilai RM200 juta, selepas mesyuarat penyelarasan dengan agensi berkaitan, Selasa ini.

Pada asasnya, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib, berkata dana RM65,000 akan diberikan untuk membina semula rumah baru, surau atau premis awam lain yang rosak akibat bencana alam, sebelum ini.

Katanya, bantuan RM15,000 akan diberikan untuk membaik pulih rumah atau kemudahan lain yang rosak sebahagian saja.

Beliau berkata, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan di semua negeri yang terjejas banjir dalam proses menilai kerosakan premis awam seperti sekolah, balai raya, masjid, surau, dan rumah penduduk sama ada untuk dibaik pulih atau dibina baharu.

Katanya, dana itu akan disalurkan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Nilai keseluruhan kerosakan setiap infrastruktur akibat banjir besar baru-baru ini dijangka diselaraskan Selasa depan.

"Jumlah premis dan nilaian kerosakan akan diputuskan pada mesyuarat bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz," katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengumumkan peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir.

Katanya, dana awal RM50 juta sudah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi perbelanjaan operasi bencana ketika tempoh Monsun Timur Laut.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian, selepas gotong-royong pembersihan Madrasah Raudah Al Muhibin di Pondok Pok Kob Chenor yang rosak teruk kerana ditenggelami air sehingga paras bumbung.

Tiada ulasan: