Selasa, 26 Januari 2021

PKP: Mesyuarat bersemuka masih dilarang - Ismail Sabri

BH ONLINE
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menegaskan mesyuarat secara bersemuka adalah dilarang, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata larangan dan prosedur operasi standard (SOP) itu terpakai kepada semua pihak, termasuk kementerian dan agensi kerajaan.

"Tiada siapa yang terkecuali dalam arahan atau peraturan ini dan tiada sebab ada (dalam) kalangan kementerian atau agensi untuk berbuat demikian.

"Kita tak mahu ada 'double standard' (pilih kasih) dalam peraturan. Malah, sidang mesyuarat khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga dilaksanakan secara maya," katanya pada sidang media perkembangan PKP, di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan terdapat agensi kerajaan dan organisasi lain yang mengadakan mesyuarat secara bersemuka dalam tempoh PKP ketika ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan semua pemilik premis perniagaan supaya akur dengan senarai jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Jelasnya, senarai perniagaan atau perkhidmatan perlu serta rantaiannya sudah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Tak kira premis itu dalam pusat beli belah, hypermarket (pasar raya besar) atau tepi jalan sekalipun, SOP dan senarai terlarang tetap sama. Jika yang buka (bagi senarai terlarang), ini (adalah) pelanggaran SOP dan tindakan boleh diambil," katanya.

Mengenai aduan kelewatan bantuan disalurkan kepada keluarga yang terpaksa dikuarantin bersama ahli keluarga pesakit COVID-19, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Beliau menyarankan individu terbabit segera melaporkan kepada KKM atau pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mendapatkan bantuan kesihatan, bagi bekalan makanan pula adalah di bawah tanggungjawab keluarga sendiri. – BERNAMA

Tiada ulasan: